Friday, 20 May 2011

**WAHAI ANAK-ANAKKU PUTERA MUSTAQIM RAMADHAN & PUTERI MUZDALIFA RANIA**

Buat Anak-Anakku Putera Mustaqim Ramadhan & 
Puteri Muzdalifa Rania

"Setiap kata yang diungkap mungkin tidak seindah pengertian yang hendakku layangkan,
kerana kita sedia maklum bahawa impian dan angan-angan itu indah dari dunia yang nyata,
dan betapa hidup ini terlalu banyak persoalan yang tergantung tanpa sebarang jawapan,
Cuma yang pasti kita cuba menghindarkan diri dari sebarang kemusnahan".
                                                                                         
Wahai anak-anakku Putera Mustaqim Ramadhan & Puteri Muzdalifa Rania
Tatkala menatap wajah kalian terasa benar sinar cinta dan sayang ini,
Seperti hadirnya cahaya yang lebih besar nilainya dari sang suria,
Kehadiran kalian menjadi suatu cerita yang indah dalam sejarah kehidupanku,
Seakan aku tidak mahu melihat tubuh kalian membesar dewasa,
dan takkan mampu melepaskan kalian diruangan kehidupan ini,
takut akan kalian berhadapan dengan derita dan jika itu terjadi, ibu merelakan kebahagiaan ibu menjadi pengganti pada tangis sedih kecewa kalian.

Wahai anak-anakku Putera Mustaqim Ramadhan & Puteri Muzdalifa Rania
Jika kalian dapat fahami,
Maka ketahuilah bahawa ibu mengharapkan masa depan kalian seperti kerlipan bintang yang menyinari ruangan kelamnya malam, menjadi titik kesayangan pada Penyair malam,
Ketahuilah juga bahawa ibu mengimpikan suaram kalian seperti laungan azan menyeru kebenaran pada simpang-simpang kepincangan kehidupan,
Selain itu, ketahuilah bahawa ibu mengangankan jasad kalian seperti jula-juli yang memberi inspirasi pada ruangan kepercayaan kejayaan seseorang,
dan ketahuilah bahawa ibu meletakkn tempat kalian berdua seperti sebentuk permata yang diidamkan disetiap sudut hati insan untuk dimiliki namun nilainya terlalu tinggi dari semua batasan dunia.

Wahai anak-anakku Putera Mustaqim Ramadhan & Puteri Muzdalifa Rania,
Kerisauanku pada setiap inci tubuh kalian berdua, perasaan kalian dan tingkah laku kalian,
Tidak sesekali ibu merelakan 'calar' pada diri kalian wahai sayangku,
Mungkin 'impian' ibu ini terlalu mahal untuk dimiliki diruangan kehidupan biasa,
Namun ibu ingin kalian tahu bahawa betapa hebatnya kehadiran kalian padaku,
Menjadi persoalan sebelum kehadiran kalian, dan pabila kalian wujud di rahimku, kalian  menjadi 'impian dan angan'ku,
Kini, kalian segalanya seperti 'permintaanku' terhadap-Nya.

Wahai anak-anakku Putera Mustaqim Ramadhan & Puteri Muzdalifa Rania,
Ibu ingin kamu tahu bahawa ibu 'terpaksa' berkongsikan diri kamu pada dunia,
Kerana kalian bukan milik ibu tetapi milik Nya,
Segala perjalanan langkah kaki kalian selepas ini adalah segalanya dalam tangan Allah SWT,
ibu hanya mampu mendoakan jasad dan kerohanian yang terbaik buat hidup kamu,
Ingatlah pesan ibu,
Sebagaimana apa yang ibu ingin kalian fahami dan ketahui tentang impian ibu terhadapmu,
Dan sesungguhnya, kalian adalah seperti nyawaku.


No comments:

Post a Comment